Majlis Penyerahan Surat Niat Bagi Inisiatif Solar di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi
17 October 2021

17 Oktober - Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan campuran Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam campuran pembekalan elektrik negara, KeTSA telah mengadakan usaha sama strategik dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB), melalui pelaksanaan inisiatif solar di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung hari ini, 17 Oktober 2021.

Majlis Penyerahan Surat Niat Bagi Inisiatif Solar antara Ketua Pegawai Eksekutif LADA merangkap Pengerusi Tuan Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Berhad YBhg. Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan disaksikan YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli telah diadakan pada hari ini sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk menggalakkan pemasangan solar PV di bumbung bangunan-bangunan Kerajaan.

Di bawah inisiatif ini, TNB melalui anak syarikatnya GSPARX Sdn. Bhd. akan melaksanakan pemasangan sistem solar PV di bangunan-bangunan milik LADA di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

Sistem solar PV berkapasiti 363kWp dijangka akan dipasang di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung dan memberikan potensi penjimatan bil antara RM87,000 hingga RM244,000 setahun bergantung kepada kaedah pembiayaan yang dipersetujui.

 



Attachments